October 24, 2013

October 24, 2013

Hati Dia

Amaran : Ini entry luahan perasaan.

HATI.

Selama aku hidup, aku sentiasa cuba kawal hati aku dari terjatuh hati atau tersakit hati atau lain lain yang boleh hati rasa. Aku cukup kesiankan hati aku kerana terpaksa tanggung segala yang aku rasa. Kadang kadang rasa tak adil sebab segalanya aku lepaskan pada hati.

Contohnya, bila amarah menguasai diri, tanpa boleh berfikir menggunakan otak dan logik akal, aku ikut nafsu hati yang berperang untuk hentikan amarah aku. Gaduh dengan orang yang buat aku sakit hati, lemparkan kata kata kesat. Itu yang hatiku mahukan demi hilangkan perasaan amarah aku. Itulah yang dikatakan ikut hati, mati.

Selama aku hidup jugak, aku cuba kawal perasaan dan hati dari terjatuh hati atau dicuri oleh insan bernama lelaki. Kali pertama hatiku dirampas lelaki adalah ketika masih dibangku sekolah. Dan aku percaya itu hanya nafsu hati aku yang cuba hendak mengikut peralihan zaman ketika itu. Semua orang ada couple, aku pun nak jugak. Akibatnya, hubungan yang kononya datang dari hati itu cuma bertahan selama 4 tahun. 

Hasil dari putusnya hubungan yang dari hati itu, aku jadi sakit hati. Aku mula menjaga hati agar tidak jatuh lagi. Aku fokuskan hati cuma pada yang Esa, pasang niat agar tidak lagi memberi hati kepada mana mana lelaki kecuali yang sah bergelar suamiku kelak.

Tapi, hati yang kusangka dah cukup rapi penjagaanya, yang dah aku sangkarkan dan kunci pakai mangga dan rantai besi, berjaya juga dibolos oleh lelaki.

DIA.

Dia lelaki pertama setelah 4 tahun aku cuba kawal dan jaga hatiku. Dia bukan sesiapa, dia tak handsome, dia bukan dari keluarga yang senang, dia tak pernah beri aku perhatian yang lebih dibandingkan dengan lain lain perempuan. Tapi entah kenapa kali pertama perkenalan dengannya, hatiku terus berdegup kencang bak tak sabar sabar untuk keluar dari sangkar yang kucipta. 

Dia sangat istimewa. Dia senang bercerita hal tentang dirinya, buat aku lebih ingin tahu. Kalau lama tak dengar suaranya atau tak nampak batang hidungnya, hati ni cepat je menyulam rindu pada dia. Dan setiap kali bertentang mata dengannya atau mendengar suaranya, hati ni cepat je nak berdegup rasa bagai nak tersembul keluar dari dada. Aku sentiasa rasa nak kelihatan lebih sempurna dihadapannya. Lain. Hati aku rasa lain dan istimewa setiap kali bersamanya.

Sayang, dia tak tahu perasaan yang kusimpan yang masih hangat ke hari ini dan dia tak akan tahu. Aku tak putus putus berdoa agar perasaan yang aku rasa sekarang ni hilang cepat cepat. Bukan sebab aku tak nak berusaha untuk mendapatkan hatinya tapi, bak kata status di fesbuk, "it's complicated". Sangat merumitkan kalau betul dia juga berperasaan yang sama. Aku akan gembira tapi ia merumitkan. Sangat. 

Untuk dia, aku ucapkan terima kasih kerana memberi aku peluang merasa bagai berada di atas awan tiap kali kau senyum padaku, kau berkata kata padaku, kau tunjuk wajah kau padaku. Ketahuilah, setiap apa yang kau lakukan padaku, walau sepatah perkataan 'hai' akan membuat aku tersengih sepanjang hari. Hatiku bagai dihiasi taman bunga, tenang dan gembira. 

Tapi, jangan balas perasaanku. Rumit.

DIA, si perampas HATI.

p/s : Lama fikir nak post ke tak entry ni, but then, tadaaa :)
Follow